KETAGIH KEMBARA SECARA SOLO
Dalam majalah Maskulin
dibawah tajuk Kemana Bajet Anda? Membazir? Hobi? Kepuasan? Telah menemubual
empat jejaka yang mempunyai hobi berbeza. Salah seorangnya adalah saya……
Muskulin – Dek kerana hobi
dan minat, manusia sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi keinginan mereka.
Wang ringgit mungkin tidak menjadi penghalang, asalkan hobi dan minat mereka
itu boleh dipenuhi. Atas minat dan hobi yang mendalam jugalah yang mendorong Firdaus Bakhtiar (bukan nama sebenar), 30 menjelaja dan mengembara kebeberapa buah negara secara
solo.
Namun dia menegaskan bahawa
kembara solonya itu bukan atas tiket hobi semata-mata, jauh dari itu dia mahu
membuktikan bahawa anak Melayu juga mempunyai keberanian dan kekentalan jiwa
untuk meneroka di seluruh dunia.
Dengan menggunakan budget
sendiri yang tidak besar, Firdaus Bakhtiar memulakan pengembaraannya dari Ipoh pada 2
November 2003 menuju destinasi pertama di Hat yai, seterusnya China, Mongolia,
Russia, Vietnam dan menamatkan perjalananya di Thailand sebelum kembali ke Ipoh
dengan mengambil masa 120 hari. Pelbagai pengalaman, rintangan dan halangan
yang dihadapi oleh anak muda yang berasal dari Gunung Rapat, Ipoh Perak
ini,sepanjang pengembaraan solonya.
Kata Firdaus, kerana minat
yang teramat sangat, mengembara secara solo ini telah membuatkan dia ketagih
walaupun hanya dapat melawat tempat ataunegara yang berhampiran seperti Pulau
Phi-phi berhampiran Pulau Phuket Thailand, sudah cukup baginya. Malah kalau
mampu dia mahu melakukannya selalu.
“Ramai orang kata membazir,
tetapi itu cara saya, mereka tidak sedar mereka pula berhabisan duit dengan
pekara lain seperti ubah suai kereta, main golf dan sebagainya. Bak kata orang
pi mai pi mai yang tu….tolak campur, kali bahagi, saya dengan mereka sama
sahaja. Matlamat utama saya adalah mengembara dan ia memberi kepuasan kepada
saya. Pebgalaman yang ditempuhi dengan segala kepayahan, kesukaran, keseronokan
dan kesedihan akan saya kenang selamanya. Malah setiap detik semasa mengembara,
masih saya ingat dan sukar untuk dilupakan,” ceritanya.
Malah hampir setiap hari dan
hingga ke hari ini, boleh dikatakan setiap jam, fikirannya akan terkenangkan
pengalaman kembaranya. Apa yang penting, mengembara juga dapat memberi lebih
keyakinan pada dirinya.
Hampir seluruh Thailand
(pulau-pulau), Pulau Jawa dari barat hingga ke timur serta Bali telah
dijelajahi. Sempat juga dia singgah di Kamboja dan pernah jelajah dari utara
hingga selatan negara Laos. Pernah menjelajah dari utara hingga selatan negara
Vietnam, menghabiskan masa di Ulaan Baator dan Erdenet di Mongolia.
Firdaus juga pernah memasuki
Pakistan dan China dari selatan, utara, barat dan timur termasuk 2 kali ke
wilayah Tibet. Shanghai, Hong Kong serta Macau, Beijing serta ke beberapa
wilayah di China termasuk wilayah Xinjiang. Manakala destinasi lain yang pernah
dia jejaki seperti Nepal dan sempat mendaki ke Annapurna Base Camp di Pokhra,
India dari New Delhi ke Agra hingga ke Srinagar Kashmir. Pernah menaiki
keretapi Trans Siberia dari Beijing ke Ulaan Batoor ke Moscow dan kembali
semula ke Beijing. Suatu kembara yang panjang dan penuh dengan pengalaman.
Firdaus mengakui jika diberi
wang sejumlah satu juta ringgit, pekara utama yang ingin dilakukan ialah
menggunakan duit itu untuk mengembara sepuas-puasnya. Biarpun selama beberapa
tahun, dia mahu mengabdikan diri menjelajah kesetiap pelusuk dunia. Namun dia
lebih gemar mengembara melalui jalan darat, agar dapat menikmati pemandangan
dan mengambil gambar-gambar kehidupan yang jarang dilihat dan pamerkan untuk
tatapan semua.
Walaupun sudah banyak negara
yang sudah dijelajahi, namun hobinya ini masih banyak yang masih belum dicapai.
Firdaus mengimpikan untuk menjelajah kebeberapa negara lain jika berkemampuan.
“Saya ingin ke Asia Tengah
seperti Armenia, Uzbekistan, Tajikistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan
Azerbaijian. Segala-galanya bermula selepas saya mengenali seorang pengembara
solo wanita dari Jepun di Turpan, Xinjiang. Menurutnya dia tidak memerlukan
bajet besar cukup sekadar AS$1000 sahaja untuk memulakan penjelajahan dari
Istanbul Turki meredah beberapa negara di tengah Asia hingga ke Urumqi, wilayah
Xinjiang di China.
Salah satu lagi impian saya
ialah menaiki kapal dari bandar Krasnoyarsk di tengah Russia melalui sungai
Yenisey hingga ke Laut Kara di Lautan Artik di utara dan melalui beberapa tempat
menarik seperti Dudinka dan Igarka selama 9 hari.”
Dan biar pun pelbagai dugaan
yang pernah ditempuhi, namun jika dipanjangkan umur, selagi mampu dan kuat
serta sihat, Firdaus mahu mengembara hingga ke tua.
“Saya terserempak ramai
pengembara yang lanjut usia masih kuat mengalas beg sendirian. Itu lah yang
memberi motivasi secara tidak langsung kepada saya,” katanya mengakhiri
perbualan.
Sumber : Majalah Maskulin
No comments:
Post a Comment