Thursday, January 28, 2016

26 - KEMBARA SOLO 2004 - WILAYAH TIBET - CHINA - BAHAGIAN 9-22

HOR, DONGPA, PARYANG, HORPA WILAYAH UTARA TIBET


Hor Tibet(4520 meter)



Hor terletak di sebatang jalan utama pada ketinggian 4,520 meter. Terdapat beberapa rumah kedai di kiri dan kanan jalan. Seronok melihat kehidupan harian mereka, termasuk kelibat sekumpulan perempuan Tibet yang berpakaian tradisional berwarna-warni memasuki bandar itu. 

Seperti di Purang, di sini juga saya dapat melihat najis manusia dimerata-rata tempat terutama disepanjang jalan utama. Saya terpaksa menunggu lori dipinggir jalan setiap hari dibawah sinar matahari yang terik selama tiga hari. Perlu diingat tiada perkhidmatan bas disini. Saya sentiasa memasang telinga untuk mendengar bunyi enjin lori  dan bila terdengar bunyi kenderaan saya akan terus meluru keluar bilik walau pun ketika itu waktu malam.

Mulanya memang saya berasa bosan tetapi saya gembira kerana pada petang hari kedua ketika disini, saya bertemu seorang pengembara dari Jepun bernama Kazuto yang berusia 23 tahun yang datang dari arah Gunung Kailash. Seperti saya, beliau juga mahu menuju ke Shigetsi. Ia sebenarnya telah mengembara hampir 10 bulan, baru selesai kembara ke Afghanistan dan telah ke Pakistan, India, Nepal dan masuk ke Tibet semata-mata hendak ke mengelilingi gunung Kailash. Beliau pernah menunggang basikal bersama dua pengembara dari Eropah dari Lhasa Tibet hingga ke Nepal. Destinasi Kazuto seterusnya ialah kembali semula ke India melalui Nepal sekali lagi.

Saya kemudian berpindah bilik untuk tinggal bersama Kazuto disebuah rumah tumpangan yang lain. Masih ingat ketika waktu malam yang sejuk berulang kali saya turun ketingkat bawah rumah tumpangan di luar halaman untuk mengutip “taik yak” yang kering untuk dijadikan bahan bakar dalam bilik untuk memanaskan suhu bilik. Yang kelakarnya bila bangun dari tidur keesokan harinya habis seluruh bilik diseliputi habuk hitam kesan dari pembakaran “taik yak” semalam. Muka kami sama-sama menjadi comot. Saya memang tidak dapat tidur kerana sentiasa memasang teling mendengar bunyi suara lori.

Keesokan harinya pada petang hari ketiga saya di Hor akhirnya lori yang ditunggu pun tiba perlu diingat bukan semua lori yang beri kita menumpang dan kami berdua berjanji akan membayar RM138.00 seorang untuk perjalanan ke Shigetsi pada pemandu lori setiba di Shegetsi nanti. Ketika itu memang saya amat teruja saya dan Kazuto mengambil tempat dibelakang lori yang luas dan kosong untuk beberapa hari sehingga ke Shegetsi. Kazuto mengajar saya cara-cara tidur dibelakang lori dengan betul untuk mendapatkan sedikit keselesaan memandangkan kami akan menempuh cuaca sejuk dan permukaan jalan yang teruk.

Perjalanan kami bermula pada pukul 2 petang. Terdapat tiga buah lori berkonvoi bersama. So excited kerana ini lah pengalaman pertama saya menumpang belakang lori sebesar ini. Jenuh kami terpaksa panjat tinggi untuk masuk kebelakang lori tersebut. Belakang lori yang terdedah berlangitkan bulan dan bintang. Selepas 3 jam perjalanan lori dihentikan dan tiba-tiba pemandu lori yang juga berusia 23 tahun itu mempelawa kami masuk didalam kabin memandu. Kami bernasib baik kerana pemandu lori mempelawa kami masuk ke dalam kabin lori bersama seorang penumpang perempuan Cina, saya dapat tahu perempuan cina ini lah yang telah meminta pemandu lori supaya benarkan kami masuk ke kabin dan terdapat sebuah ruang yang boleh bebaring dibelakang tempat memandu walaupun sempit. Jadi terlepaslah kami daripada cuaca malam yang sejuk. , sejuk dan gelap kan

Perjalanan melalui dataran tinggi melebihi 4000 meter, sekali sekala melalui lereng-lereng gunung yang berpasir. Kami berhenti di satu pondok pemeriksaan, Kazuto begitu bimbang macam anak kucing ia cuba menyorok diri dibelakang kabin didalam lori, tetapi saya memaksanya keluar dan saya kata padanya kita mesti ambil risiko. Akhirnya kami terlepas tanpa banyak soalan. Pada pukul 10 malam lori mengalami masaalah sudah tentu di kawasan luas. Tetapi pemandangan langit indah bercahaya di terangi taburan bintang. Hampir sejam lori dibaiki, kami kemudian meneruskan perjalanan.

Horpa Tibet

Kami sebenarnya dalam perjalanan menuju ke Paryang tetapi oleh kerana hari sudah pun lewat kami tiba di Horpa kira-kira pukul 1 pagi dan terpaksa bermalam disebuah rumah penduduk disini yang terletak di kawasan saujana mata memandang. Hanya terdapat dua buah rumah kecil sahaja disini. Berhimpit kami tidur dalam ruang yang kecil ini. Seperti biasa sukar untuk saya melelapkan mata. Awal pagi saya sudah bangun melihat kawasan sekitar yang terbentang ini. Kelihatan banyak kambing biri-biri disini. Bila cuaca dah cerah dan bila pemunggahan daging kambing kedalam lori selesai kami begerak menuju ke Paryang.

Paryang Tibet



Perjalanan ke paryang tidak jauh mengambil masa kira-kira 1 jam perjalanan. Paryang hanya sebuah penempatan yang amat kecil kami singgah disini untuk bersarapan pagi. Pandai-pandailah nak makan apa. Kebiasaan nya saya mencari biskut kering atau pun roti kosong untuk mengalas perut. 

Di Paryang Lori masih menunggah dan memindahkan daging-daging kamping yang banyak itu. Sempat saya melihat mereka memunggah. Daging ini dibiarkan terdedah tanpa peti sejuk pun kerana cuaca di Tibet walapun terik tidak akan membuatkan daging itu busuk. Daging kambing itu kekal beku. Beberapa jam disini saya juga berkeliaran disekitar mengambil pemandangan dan wajah penduduk disini. 

Dari Paryang kami bertolak pada pukul 2 petang untuk terus ke pekan Saga. Jarak perjalanan memang jauh. Lori yang saya naiki berlumba-lumba dengan dua lori yang lain. Kami berkonvoi bersama-sama. Menariknya dua buah lori yang turut serta dengan kami itu selain membawa penuh muatan daging kambi, lori tersebut juga menumpangkan hampir lebih 10 orang penumpang lelaki dan wanita di belakang lori. Ada yang duduk di atas daging kambing. Saya dapat tahu kalau lapar mereka akan hiris daging kambing untuk dimakan. Ohhh sekali lagi cuba bayangkan keadaan mereka bila menempuh malam yang sejuk. Kebanyakan mereka orang Tibet tentu dah biasakan.

Dongpa Tibet

Pada pukul 5 petang kami tiba di pekan Dongpa. Pemandu lori memberi isyarat untuk berhenti makan dan akan menyambung kembali perjalanan terus ke Saga tetapi masaalah timbul. Kazuto memberitahu orang Tibet yang menumpang dibelakang lori enggan meneruskan perjalanan diwaktu malam. Mereka masih bertengkar dan maybe juga berbincang. Saya, Kazuto dan perempuan cina yang menumpang lori itu hanya tunggu sahaja didalam sebuah kedai makan disini. Sebelum itu saya sudah sempat merayau-rayau sekitar Dongpa. 

Akhirnya kira-kira pukul 8 malam kami diberitahu yang kami terpaksa bermalam di Dongpa. Saya, Kazuto dan perempuan cina terpaksa menyewa disebuah dorm disini untuk bermalam. Harga katil pada saya murah lah waktu malam bising orang “berkaraoke”saya terdengar pengunjung sebuah kedai karaoke menyanyikan lagu Hindi Dil To Pagal Hai. Esok kami terpaksa bersedia awal untuk bertolak ke Saga. Tidak sempat nak lelap, pukul 4 pagi kami dikejutkan olah pemandu lori. Bila semua selesai dan bersedia ketiga-tiga lori mula begerak pada pukul 4.45pagi.

Baru setengah jam lori begerak terpaksa berhenti kerana salah satu lori yang berkonvoi mengalami kerosakan. Hampir dua jam perjalanan terhenti. Memang sejuk gelap ketika itu sempat juga saya buang hajat dibelakang sebuah banguanan sebelum bertolak. Tentang buang hajat ni kalau kita travel di China toilet paper perlu sentiasa ada dalam beg. Kadang-kadang kami boleh buang hajat bertaburan di padang yang luas tanpa ada apa-apa pengadang. Tetapi siapa peduli bila kita menenggung dan berak yang jaraknya hampir 50m siapa yang nak tengokkan. Cara begini dah jadi kebiasaan di sini.

Pemandangan diteruskan dengan pandangan yang berbeza ada sekali kami melalui bukit pasir seperti padang pasir cantik kelihatan dari jauh. Tetapi saya tak berani nak suruh lori berhentikan hanya untuk ambil photo, karang di ketuk kepala saya ni pulak. Tentang photo ni pulak ramai pengembara dari Jepun yang mengembara lama tidak bawa kamera. Pelik kan tapi ramai yang saya pernah jumpa termasuk lah si Kazuto ini.





No comments:

Post a Comment