Wednesday, January 27, 2016

25 - KEMBARA SOLO 2004 - WILAYAH TIBET - CHINA - BAHAGIAN 8-22

MEREDAH DATARAN TINGGI TIBET

Saya tiba di pekan Shiquanhe di Ali (Ngari) di Tibet yang terletak diketinggian kira-kira 4500 meter tepat pada pukul 7.30 petang setelah menempuh perjalanan selama 48 jam melalui Xinjiang-Tibet Highway. 


Shiquanhe, Ali (Ngari) Tibet (4500meter)



Dalam keadaan lemah saya mengalas backpack yang agak berat dan mencari hotel disekitar pekan Shiquanhe, Ali. Setelah menemui sebuah hotel yang besar dan murah saya terus ke bilik mandi “awam” yang terletak diluar kawasan hotel sejauh hampir 100 meter. Selepas mandi saya mula berasa segar dan sudah mempunyai selera makan dan dapat rasakan tubuh badan saya semakin baik dan sudah sebati dengan keadaan udara diketinggian melebihi 4000 meter ini. Saya tidak bercadang untuk lama berada disini memandangkan Shiquanhe hanya sebuah pekan yang agak kecil.

Keesokan harinya awal pagi selepas makan sup mee disebuah gerai islam disini saya mula merayau-rayau sekitar Shiquanhe sambil mencari-cari transport untuk ke destinasi seterusnya. Di Shiquanhe, terdapat sebuah stesen bas dan terdapat juga perkhidmatan bas ke bandar Lhasa dan Shigetsi melalui jalan lain ditengah wilayah Tibet. Saya tidak mahu memilih jalan itu kerana tempat menarik untuk dilawati agak kurang. Jadi saya memilih untuk menaiki lori menuju arah selatan Tibet. 

Sudah mendapat maklumat dimana lokasi yang boleh saya dapatkan lori/ truck nanti. Tetapi ketika berjalan sekitar berhampiran hotel saya disini saya ternampak sebuah jip dan bertanyakan kemana arah jip itu hendak pergi. Rupanya jip itu akan menuju kearah Purang sebuah lokasi yang saya sendiri tidak tahu dimana, yang saya tahu saya perlu naik jip ini untuk ke kaki gunung Kailash. Ketika itu maklumat tentang western Tibet yang saya ada agak kurang dan banyaknya saya main agak-agak sahaja. Serta merta plan saya yang asalnya mahu mencari lori untuk ditumpangi berubah mengikut jip ini pula yang akan bertolak dalam jangka masa sejam lagi. Saya berlari ke hotel untuk check-out dan mengambil backpack.

Jip biru yang saya naiki agak penuh semua orang Tibet, saya duduk di bahagian belakang mengadap muka dua gadis Tibet yang boleh tahan menariknya. 

Bertolak dari Shiquanhe sekitar pukul 12.00 tengahhari. Pada permulaan perjalanan dari Shiquanhe ke Purang jip melalui jalan yang amat baik dan sudah semestinya menempuh pemandangan kadang-kadang sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Nampak jelas pekan Shiquanhe ditinggalkan semakin jauh. 

Tidak lama selepas itu jip mula memasuki jalan berbonjol-bonjol yang berpasir tidak berturap. Bila sudah berjam-jam dalam jip ini timbul juga perasaan jemu. Mata sesekali terlelap tapi tidak lena bila jip asyik melompat-lompat. Sesekali jip mengalami kerosakan ringan. Terus terang saya ketika itu main ikut ajer kerana komunikasi antara saya dengan pemandu agak sukar dan seperti saya kata tadi semuanya saya main agak-agak sahaja. Saya sendiri tidak tahu berapa lama perjalanan ke Purang. Beberapa kali saya peringatkan yang saya hendak ke gunung Kailash pada pemandu jip dengan menunjukkan peta kasar yang ada ditangan saya.

Keadaan jalan boleh tahan teruknya ketika hari hampir gelap jip sekali lagi mengalami kerosakan teruk. Kali ini besi ditengah antara dua tayar dibelakang jip patah. Dalam keadaan hari yang semakin gelap pemandu jip dan beberapa penumpang lelaki lain betungkus lumus membaiki kerosakan. Sukar hendak diperbaiki. Dalam keadaan terdesak jip terpaksa juga bergerak perlahan-lahan dalam keadaan terhenjut-henjut. Sesekali jip tersesat arah jugakerana pemandu memandu jip mengikut arah kesan tayar di permukaan tanah. Lebih kurang pukul 10 malam kami tiba di penempatan kecil, alhamdulillah terdapat bengkel membaiki kenderaan disini. Disini hanya terdapat beberapa buah rumah dan sebuah rumah tumpangan kecil. Kami penumpang jip diarah kedapur salah seorang penduduk disini, sempat minum tea. Keadaan sekitaran gelap serta sejuk. Bunyi anjing menyalak kedengaran diluar. Setelah 6 jam menunggu kerosakan ji diperbaiki akhirnya kami dapat meneruskan perjalanan kembali kira-kira pukul 4.00 pagi. Hati rasa seronok, badan saya memang agak penat mata sempat juga terlelap.

Kira-kira sekitar pukul 5.00 pagi jip berhenti di hadapan sebuah rumah. Pemandu jip mengarahkan saya untuk keluar dan dalam keadaan yang sejuk dan suasana yang gelap ia menunjukkan saya ke arah sebuah puncak gunung yang berwarna putih amat besar didepan mata dan jelas kelihatan salji dipuncak gunung tersebut. Saya tahu itulah gunung Kailash, saya sudah berada dikaki gunung itu sekarang dan ketika itu saya ingat saya perlu turun disini sahaja tetapi pemandu jip arah saya naik semula kedalam jip. Sangkaan saya maybe ia nak bawa saya ke tempat penginapan sekitar kaki gunung ini kut. Saya agak excited ketika itu. Gunung Kailash atau Kangrinpoche setinggi 6714 meter ini merupakan gunung suci bagi orang Tibet. Kalau kita orang Islam tawaf mengelilingi Kaabah , mereka orang Tibet akan tawaf mengelilingi gunung ini. Sekali tawaf mengambil masa 2 hari. Saya ke gunung Kailash kerana hendak melihat kawasan sekitar dan sudah terbayang hendak mengambil photo gunung ini dari dekat dan memang ada plan nak try mengelilingi gunung ini.

Tapi malang akibat masaalah komunikasi antara saya dengan pemandu jip saya terus dibawa jauh meninggalkan gunung Kailash. Saya mula perasan bila jip tidak berhenti-henti selepas itu sehingga hari semakin cerah, ya saya sudah tersasar jauh dan saya sendiri tidak mampu nak minta jip supaya berpatah balik. So saya terpaksa ikut sahaja mana nak dibawa.Waktu pagi ketika matahari mula menampakkan diri, jip melalui pinggit Tasik Manasarovar atau Mapam Tso Lake dan berlatarbelakangkan gunung Kailash yang sudah jauh ditinggalkan. Sedi juga saya ketika itu tapi saya minta berhenti di pinggir tasik dan minta pemandu jip mengambil beberapa photo saya yang berlatarbelakangkan tasik manasarovar dan gunung Kailash itu. Perjalanan diteruskan cuaca smakin terik, jalan yang ditempuhi berbagai bentuk dan rupa. Kesimpulannya teruk. Kira-kira pukul 12.00 tengahari setelah hampir 24jam perjalanan kami tiba di Purang.

Purang Tibet (3820 meter)



Purang atau ada setengah tulis Burang  terletak diketinggian 3820 meter dari paras laut. Lokasinya  berdekatan dengan sempadan India dan Nepal. Dari situ jelas kelihatan Banjaran Himalaya. Suhu agak dingin walaupun matahari memancar terik. Ia merupakan bandar perhentian pemandu lori. 

Di sini terdapat biara yang terletak dipuncak bukit yang tinggi. Terdapat banyak lubang gua yang mungkin merupakan tempat sembahyang atau kediaman. Saya hanya memerhatikannya dari jauh dan di kawasan sekitar terdapat beberapa puncak bukit dan kubu-kubu pertahanan tetapi tiada pengawal. Saya tinggal di sebuah hotel yang agak besar dan nampak mewah yang dibina khas untuk disewa oleh pemandu lori. Melihat saya orang luar, sewa yang dikenakan agak tinggi walaupun tiada kemudahan elektrik dan tandas pula teruk. Seharian saya merayau sekitaran Purang hingga ke malam. Yang pasti malam saya tidur awal kerana tak tahu nak buat apa-apa dah.

Barkha Tibet


Keesokan harinya seperti yang dijanji dengan pemandu jip saya akan bertolak dari Purang menaiki jip yang sama menuju ke Barkha. Perjalanan melalui Tasik Manasarovar yang sebelum itu telah pun saya lalui, tetapi saya tidak pasti adakan melalui laluan yang sama seperti semalam. Warna air tasik biru kehijauan begitu cantik berkilauan apabila disinari cahaya matahari. 

Perjalanan cuma kurang tiga jam dan Barkha terletak disatu persimpangan jalan iaitu satu menuju ke Lhasa dan satu lagi menuju ke Purang. Ia terletak di satu kawasan padang rumput berwarna kuning yang amat luas dan dari sini jelas kelihatan puncak Gunung Kailash. Saya diarah turun di sini untuk menunggu lori yang akan membawa saya ke Lhasa. Angin kencang menyebabkan saya terpaksa berlindung didalam khemah penduduk Tibet disini. Khemah itu didiami oleh sepasang suami isteri dengan dua anak yang masih kecil. Mereka begitu baik melayan saya. 

Saya menunggu hampir lewat petang tetapi tiada sebuah lori pun menuju ke arah Lhasa. Saya mula berfikir kemungkinan terpaksa bermalam di sini tetapi sekitar pada pukul 5 petang, seorang penduduk tempatan memberitahu saya dengan menggunakan bahasa isyarat bahawa tidak banyak lori yang akan berhenti di Barkha. Jadi terpaksalah saya mengambil keputusan menumpang sebuah motosikal selama 30 minit menuju ke Hor dengan bayaran kira-kira RM46.00. 

Ketika tiba di Hor, hari sudah pun gelap, dan saya terus mencari rumah tumpangan iaitu sebuah bilik dormitory tanpa pemanas dan tiada tandas. Inilah pengalaman pertama saya tidur dalam suhu yang paling sejuk yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Beberapa lapis selimut dan beg tidur masih tidak dapat menahan sejuk. Ketika inilah saya asyik terbayangkan kampung halaman dan suasana keluarga menyambut Hari Raya. Sempat juga saya menyanyi lagu raya perlahan-lahan sehingga terlelap. 


No comments:

Post a Comment