Monday, January 25, 2016

23 - KEMBARA SOLO 2004 - WILAYAH XINJIANG - CHINA - BAHAGIAN 6-22

KASHGAR, TASHKURGAN, HOTAN DAN KARCHILIK (YECHENG) WILAYAH XINJIANG


Kashgar atau Kashi

Dari Urumqi, saya meneruskan perjalanan menaiki keretapi ke Kashgar atau dikenali juga Kashi. Harga tiket ialah Y324 dan perjalanan memakan masa 25 jam, sekiranya kita menaiki bas tambang yang dikenakan hanya Y170 dan Kashgar merupakan salah satu bandar utama di laluan sutera dan didiami penduduk berbangsa Uyghur, Tajiks, Kyrgyz, Urbeks dan sedikit Han Chinese.

Di station keretapi di sini, saya bertemu dengan pengembara dari Korea Ajumah atau Anh Sung Young 42 tahun seorang ibu yang mempunyai  dua anak yang sedang belajar di Amerika, dia akan ke selatan China untuk bertemu dengan suaminya dan mereka akan terus melawat Laos. Kami bersama-sama menuju ke hotel budget yang sama dan akan tinggal di hotel yang sama.

Di hotel kami berkenalan pula dengan seorang wanita Jepun  bernama Masako yang telah beberapa bulan mengembara di negara Mongolia dan kami bertiga menjadi rapat serta kerap kali kami keluar jelajah seluruh pelusuk kampong di sini bersama. Kami juga menghabiskan masa mencuba berbagai-bagai makanan yang dijual di bazaar yang sesak dan melawat sekitar bandar Kashgar bersama. Kami juga ke Gucheng atau old town dan meredah masuk kesegala ceruk jalan yang sunyi, mengintai melalui tingkat kedalam beberapa rumah penduduk disini sambil berjalan dan ketawa terbahak-bahak.

Pendek kata kami rasa begitu enjoy ada saja yang pekara yang mencuit hati yang kami alami bersama. Saya juga sempat melawat Abakh Hoja Tomb dan sebuah masjid, Id Kah yang dibina pada tahun 1442. 

Tashkurgan (3600 meter)


Saya dan Ajumah berkesempatan ke Tashkurgan yang merupakan antara perhentian terakhir buat para pengembara yang mahu meneruskan perjalanan ke Pakistan. Apa yang saya tahu Tashkurgan antara tempat yang menarik untuk dilawati Saya dan Ajumah mengambil keputusan untuk pergi ke Tashkurgan dan tinggal semalam disana. Dari Kashgar kami menaiki teksi selama empat setengah jam dan perjalanan amat menarik dengan panorama indah Tasik Karakul yang luas dan dapat melihat puncak Muztagh Ata setinggi 7,546 meter. Bangsa Tajiks merupakan majoriti penduduk di bandar itu dan terletak diketinggian 3600 meter dari paras laut. Ketika tiba disini Ajumah mengalami sakit kepala so ia hanya hendak menghabiskan masa ia berehat sahaja. Manakala saya terus jelajah sekitar Tashkurgan melihat kehidupan penduduk disini. Saya dan Ajumah kemudian berpatah balik ke Kashgar dan tinggal beberapa hari di situ sebelum saya ke bandar Hotan sebuah bandar yang terletak di selatan Taklamakan Desert kira-kira 1980km dari bandar Urumqi

Hotan


Saya bertolak menaiki bas ke Hotan sendirian manakala Masako dan Ajumah akan turut menyertai saya lewat sehari dan perjalanan ke Hotan melalui kawasan lapang yang luas dan tandus. Perjalanan terhenti kerana bas rosak dan saya terpaksa menunggu tiga jam untuk meneruskan perjalanan. 

Bazaar Ahad (Sunday Bazaar) di Hotan cukup hebat dan sekali pandang, ia seperti bazar di India dan Pakistan.  Seperti di Kashgar, kami bertiga siang malam meredah Hotan bersama-sama. Mereka juga membantu saya memilih jaket hijau made in China yang berharga RM30 aje ketika shopping disini. Jaket coat yang saya akan guna dalam menempuh perjalanan melalui Xinjiang-Tibet Highway kelak. Hotan terkenal juga dengan batu jednya yang cantik.

Sebenarnya saya langsung tidak bercadang untuk ke Hotan, tetapi setelah didorong oleh Ajumah yang mendesak supaya saya mencuba laluan Xinjiang-Tibet Highway menuju ke bandar Ali telah mengubah pelan asal saya. Saya ke Hotan hanya semata-mata untuk membuat persiapan akhir saya sebelum menuju ke Tibet, walaupun ketika saya sudah berada disini hati saya masih tetap berbelah bagi mengenai cadangan Ajumah itu, maksudnya keputusan untuk ke Tibet masih belum saya putuskan ketika itu.

Ya, di Hotan juga saya terpaksa berpisah dengan Masako dan Ajumah, kami semua akan membawa haluan masing-masing ke tempat lain. Masih ingat diawal pagi yang gelap saya mengetuk pintu bilik hotel untuk bertemu Masako dan Ajumah (kerana Ajumah memaksa saya betemu dengannya pagi sebelum saya bertolak pergi) untuk kali terakhir sebelum bertolak ke bandar Karchilik sebelum masuk ke wilayah Tibet. Memang sedih,

Ajumah berjanji kemungkinan ia akan ke Lhasa Tibet dan maybe kami dapat bertemu sekali lagi ketika disana. Ajumah juga memberi buku panduan Lonely Planet miliknya edisi terbaru pada saya kerana katanya ia sudah tidak memerlukannya lagi. Walau pun sudah bertukar alamat email tapi sehingga kini kami gagal berhubung untuk bertanya khabar lagi.



Karchilik atau Yecheng adalah hentian akhir saya di Xinjiang sebelum masuk ke wilayah Tibet.


No comments:

Post a Comment